Untuk pelanggan Celcom yang suka (atau tidak) permainan mudah alih, berita ini sangat mengujakan. Celcom bekerjasama dengan Techninier Sdn Bhd, melancarkan pertandingan ‘mobile game‘ dinamakan GameHero dengan jumlah hadiah bernilai RM1juta.
Untuk menyertai, anda hanya perlu menjadi pelanggan talian Celcom. Pra-bayar atau Pasca-bayar kedua-duanya layak. Hanya muat-turun permainan dan pastikan gunakan plan data internet anda semasa kali pertama bermain. Selepas itu anda boleh gunakan internet Wifi untuk bermain.
Hadiah
RM1juta tersebut ialah jumlah keseluruhan hadiah. Tempat pertama sehingga ke-100 bakal menerima hadiah sebahagian daripada RM1juta tersebut. Berikut ialah pecahan hadiah mengikut kedudukan yang dipanggil “Rank” :
- Rank 1 : RM250,000
- Rank 2 : RM150,000
- Rank 3 : RM100,000
- Rank 4 : RM70,000
- Rank 5 : RM50,000
- Rank 6 : RM40,000
- Rank 7 : RM30,000
- Rank 8 : RM20,000
- Rank 9 : RM15,000
- Rank 10 : RM10,000
- Rank 11 – Rank 15 : RM6,000
- Rank 16 – Rank 20 : RM5,000
- Rank 21 – Rank 50 : RM2,000
- Rank 51 – Rank 100 : RM1,000
Jika pemenang berumur 18 tahun kebawah, ibu bapa atau penjada perlu ada bersama semasa menuntut hadiah. Jika ada persamaan skor, pemain pertama yang mencapai skor tersebut dikira pemenang.
Maklumat Pertandingan
Pertandingan ini berlangsung sepanjang tahun dengan melibatkan beberapa sesi. Setiap sesi akan memperkenalkan tajuk permainan baru.
Untuk sesi pertama ini, pertandingan akan berlangsung selama 4 bulan, bermula daripada 7 Mac 2017 dan berakhir 6 Julai 2017. Permainan bertajuk Sky Invasion 3D digunakan. Boleh dimuat turun untuk Android dan iOS.
Permainannya agak mudah dengan mengawal pesawat perang menggunakan jari, menghalakan peluru ke arah musuh, mengelak peluru dan pesawat musuh. Lebih banyak pesawat musuh ditembak, skor lebih tinggi. Semakin tinggi stage, peperangan semakin mencabar.
Muat-turun Sky Invasion 3D – Android – iOS
Langganan Berbayar
Permainan ini melibatkan langganan berbayar. Untuk sesi pertama ini, 1 bulan langganan percuma diberikan iaitu bermula 7 Mac 2017 sehingga 6 April 2017. Selepas itu, bayaran RM3.00 seminggu akan dikenakan.
Jadi untuk sesi pertama ini, 1 bulan percuma, 3 bulan berikutnya berbayar, bermakna :
3 bulan X 4 minggu X RM3.00 = RM36.00 anggaran jumlah bayaran langganan untuk sesi pertama.
Salah satu syarat penyertaan, langganan anda perlu sentiasa aktif sepanjang masa pertandingan. Jadi jika ada ketika langganan anda terputus sama ada kredit tidak mencukupi atau sebab lain, ia boleh dijadikan punca anda dikecualikan daripada senarai pemenang walaupun skor yang tinggi.
Jika anda menghentikan langganan, semua skor akan terlupus.
Bayaran Lain Yang Mengujakan – Gems
Permainan ini menggunakan matawang gantian yang dipanggil Gems. Teknik matawang gantian ini biasa dalam permainan, dengan ini pemain tidak akan perasan berapa nilai sebenar wang yang sudah dibelanjakan. Ada permainan yang gunakan nama coins, candy, tokens dan sebagainya.
Gems boleh dibeli dengan dengan harga bermula RM3.90 (4 gems) sehingga RM39.90 (60 gems) dan ia boleh dibeli berulang kali mengikut kesanggupan anda untuk belanjakan wang.
Untuk pertandingan Celcom GameHero – Sky Invasion 3D, Gems sangat berguna untuk beberapa perkara penting seperti:
- Revive : menyambung permainan ditempat dan skor terakhir jika tewas
- Beli Boosts : membeli beberapa fungsi boosts untuk menguatkan pesawat dan serangan
- Buka War Chest : mungkin mengandungi Topup atau Gems
Gems juga boleh didapati secara percuma. 2 gems untuk setiap 24 jam boleh dituntut di panel hadapan permainan (ikon kotak hadiah).
Cara Pemenang Ditentukan – PENTING !
Ya, pemilihan pemenang ialah berdasarkan skor tertinggi apabila masa pertandingan tamat iaitu pada 6 Julai 2017. Tetapi, yang dipilih ialah 100 orang markah tertinggi sahaja, belum lagi pemenang hadiah utama.
10 orang finalis dengan skor tertinggi akan dipilih untuk bermain secara Live. Markah sebelum ini tidak menjadi penentu kemenangan. Semasa permainan secara Live, di sinilah pemenang tempat pertama sehingga ke-sepuluh akan dipilih berdasarkan skor terbaru ketika itu. Bukan skor tertinggi semasa 4 bulan pertandingan 🙂
Cara pertandingan final Live tidak dinyatakan secara lengkap. Sama ada menggunakan telefon sendiri, atau perlu membawa bekal Gems sendiri. Untuk lebih adil, dijangkakan mungkin setiap finalis akan menggunakan telefon model yang sama dan dibekalkan jumlah Gems yang sama.
Strategi Untuk Menang – Shhh…
Cara pemilihan pemenang ditentukan dengan markah paling tinggi apabila masa permainan ini tamat kelak. Jadi anda tidak perlu panik bersengkang mata untuk dapatkan markah yang tinggi sepanjang 4 bulan pertandingan. Masa yang penting ialah hari-hari akhir pertandingan.
Sepanjang tempoh pertandingan, pastikan langganan anda aktif. Jika anda pelanggan pra-bayar, sediakan kredit mencukupi untuk ditolak RM3.00 secara automatik setiap minggu.
a. Hari-hari hanya latihan, bukan pertandingan
Ingat, sepanjang tempoh 4 bulan, anda hanya bermain untuk berlatih dan tuntut gems percuma. Jangan gunakan gems anda langsung walaupun untuk revive tidak kira seberapa tinggi skor anda masa tu. Jangan belanjakan wang/kredit untuk beli sebarang gems tambahan.
Jangan geram dan cemburu lihat skor orang lain tinggi, nama orang lain muncul di tempat teratas di papan skor. Sabar. Mereka ialah the early spenders yang sedang membazir. Menjelang penghujung pertandingan, sentiasa ada yang akan memintas skor mereka.
Melalui latihan harian ini juga anda boleh lihat sejauh mana kemahiran anda. Pada stage berapa anda mampu capai. Skor sebanyak mana yang boleh dianggap memuaskan. Semua maklumat ini boleh digunakan untuk anda membuat keputusan menggunakan gems atau tidak semasa bermain di hari-hari akhir pertandingan.
b. Watch and Learn
Lihat video-video yang bakal muncul di internet tidak lama lagi bagaimana pemain lain bermain dan mencapai stage tinggi. Di situ anda boleh lihat jenis pesawat musuh, pesawat bos yang bakal ditempuh di setiap stage tanpa perlu mencapai stage tersebut dan lain-lain tips yang mereka kongsikan. Jika ada rakan anda yang menggunakan gems untuk terus mencapai stage dan skor tinggi di awal pertandingan ini lebih bagus, boleh anda terus perhatikan dia sambil beri ‘sokongan moral’ sebagai galakan 🙂
c. Kumpulkan gems percuma
Gems penting untuk menghidupkan semula dan sambung bermain dengan skor semasa. (revive/respawn). Jangan gunakan gems buat masa ini. Simpan untuk digunakan pada hari-hari akhir pertandingan.
Setiap hari (24 jam) anda boleh tuntut 2 gems percuma. Jadi jika anda mulakan teknik ini dari awal sehingga hujung tempoh permainan, anggaran selama 4 bulan :
4 bulan X 30 hari X 2 gem = 240 gems terkumpul.
Dengan jumlah sebanyak itu, ditambah dengan gems berbayar jika anda mahu, anda mampu pergi jauh dalam peperangan akhir, membeli pelbagai boosts untuk kuatkan serangan dan pertahanan, dan yang paling penting, revive, hidup semula untuk terus sambung permainan dan skor.
d. Persedian terakhir
Untuk mula bermain di hari-hari terakhir pertandingan, anda akan luangkan masa secara berterusan tanpa henti. Jika tewas anda akan sambung permainan menggunakan gems untuk revive. Ini memerlukan fokus yang tinggi.
Ciri permainan ini juga berbahaya jika kosentrasi anda terganggu kerana, jika permainan dibiarkan beberapa ketika, atau anda gunakan aplikasi lain buat sementara waktu, permainan tersebut mungkin akan ditutup dan dimulakan semula, skor semasa akan lupus.
Anda boleh gunakan sambungan internet Wifi, tanggalkan kad sim untuk mengelakkan panggilan masuk mengganggu.
Ya buat masa ini anda boleh gunakan sambungan Wifi tanpa plan data internet atau kad sim, asalkan pada permulaan kali pertama bermain anda telah gunakan sambungan plan data. Diharap Celcom atau pembangun permainan tidak membuat apa-apa perubahan menghalang penggunaan Wifi.
Force stop aplikasi lain seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya untuk mengelakkan gangguan notifikasi.
Cas penuh bateri anda, sediakan pengecas atau power bank. Buka fungsi bunyi dan getar permainan tersebut sepaya anda sedar jika ditembak atau melanggar pesawat musuh.
Semoga berjaya hero!
nota dan penafian: kebanyakan maklumat di atas diambil daripada web gamehero.my sendiri. Pihak Celcom dan pengeluar berhak membuat perubahan kepada peraturan dan juga permainan.