Tiga jenis storan mudah didapatkan pengguna di pasaran pada pada hari ini. Terutamanya pada komputer peribadi. Mari kita lihat satu per satu apakah itu HDD, SSD dan SSHD.

HDD – Hard Disk Drive

HDD ialah singkatan daripada Hard Disk Drive. Ia sejenis storan yang digunakan secara meluas pada hari ini. Sama ada sebagai storan utama untuk memasang sistem operasi komputer, atau sebagai storan luaran untuk menyimpan data, malah pelayan untuk host laman web juga banyak gunakan HDD.

HDD mempunyai kompenen bergerak seperti cakera berputar dan juga lengan untuk membaca/menulis data ke cakera tersebut. Anda mungkin boleh mendengar atau rasa putaran HDD anda apabila ia sedang digunakan. Cakera HDD disaluti bahan bermagnetik kerana menggunakan teknologi storan magnetik untuk menyimpan data.

Kepantasan menulis/membaca HDD bergantung kepada kelajuan putaran per minit cakeranya. Kelajuan HDD untuk pengguna biasanya 5400RPM atau 7200RPM (revolutions per minute).

HDD sesuai untuk pengguna yang inginkan storan besar dan tidak berapa mementingkan kepantasan memproses data. Harganya juga lebih murah berbanding SSD dan SSHD.
Bolehkah magnet merosakkan HDD atau menghilangkan data daripada HDD?
Ya. Dengan menggunakan magnet yang sangat kuat daya tarikkannya. Magnet biasa yang mudah kita dapati mungkin tidak memberi kesan apa-apa dengan segera. Tetapi lebih baik elak mendekatkan magnet kepada HDD kerana anda mungkin merosakkan kompenen lain yang mungkin juga terkesan dengan tarikkan magnet.

SSD – Solid State Drive

SSD pula singkatan daripada Solid-State Drive (juga disebut solid-state disk) ialah storan yang menggunakan cip litar bersepadu untuk menyimpan data. Anda boleh bayangkan ia seperti storan USB Flash drive/thumbdrive yang disusun berlapis-lapis.

Berbeza dengan HDD, SSD tidak mempunyai kompenen bergerak. Ini menjadikan SSD sangat senyap (ya, tiada bunyi). Penggunaan mikrocip juga menjadikan SSD sangat laju dalam memproses baca dan menyimpan data. Ia juga sedikit menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Bayangkan ada berjalan dalam perpustakaan untuk mencari dan mengambil buku. Dan bayangkan pula anda ada kuasa magis, hanya jampi dan buku tersebut muncul di hadapan anda. Jadi, yang mana lebih pantas?

Pada awalnya SSD menggunakan teknologi sepeti memori (RAM) komputer. Cara ini, memori yang disimpan berada dalam keadaan mudah ruap (volatile) dan perlukan tenaga elektrik secara berterusan. Jika sesebuah komputer ditutup dan tiada bekalan elektrik, memori yang disimpan akan hilang.

Kini teknologi SSD kebanyakannya menggunakan NAND Flash. Simpanan data dengan teknologi ini tidak mudah meruap (non-volatile) jadi walaupun komputer sudah ditutup dan kuasa elektrik diputuskan sepenuhnya, data tidak hilang.

Tetapi buat masa ini, harga SSD masih agak mahal berbanding dengan HDD. Kelajuannya memproses data dan teknologi yang digunakan juga mempengaruhi harga sesebuah SSD. Walaubagaimanapun, permintaan terhadap SSD semakin meningkat kerana semakin ramai yang berminat dengan kelebihan SSD iaitu, sangat laju berbanding HDD. Dijangkakan harganya semakin turun dengan kehadiran lebih banyak pengeluar dan keadaan teknologi yang semakin canggih untuk menghasilkannya.

Bolehkah magnet menghilangkan data SSD pula?
Tidak. SSD tidak terkesan dengan kehadiran medan kuasa magnet. Tetapi, kuasa magnet yang kuat masih boleh merosakkan cip-cip yang ada.

SSHD – Solid State Hybrid Drive

SSHD pula ialah storan seperti HDD, tetapi ada sedikit tambahan storan NAND Flash seperti SSD, biasanya 8GB untuk menambah kelajuan.

Storan Flash tambahan ini bertugas untuk menyimpan ingatan cache (cache memory) data yang kerap atau sedang diakses. Ini menjadikan prestasi SSHD itu laju seperti SSD tapi menggunakan storan HDD. Data di dalam ingatan cache tersebut tidak disimpan secara kekal dan sentiada berubah.

Untuk membaca data secara kerap daripada cakera HDD, prestasi menjadi perlahan, jadi data tersebut diletakkan sementara di dalam cip Flash menjadikan proses membaca data tersebut laju seumpama menggunakan SSD.

Storan SSHD mahal sedikit daripada HDD tetapi jauh lebih murah daripada SSD. Pengguna juga tidak perlu risau tentang hal teknikal jika menggunakan SSHD kerana sistem komputer akan anggap dan paparkan SSHD ini seperti HDD biasa.

Jadi yang mana satu pilihan anda? Storan jenis apa yang sedang anda gunakan? Laju?

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini:

By Husnil Khatimi

Minat sendiri. Byting Bytes Bit By Bit.