Kerajaan Australia sedang dalam proses menyediakan draf undang-undang baru berkaitan penyulitan komunikasi diantara pengguna. Ini bakal memberi kesan kepada banyak aplikasi dan perkhidmatan yang sudah anda ketahui atau sedang gunakan seperti WhatsApp, Telegram, Google, Facebook dan sebagainya.
Aplikasi permesejan popular seperti WhatsApp dan Telegram menggunakan cara penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) di mana hanya pengguna tersebut yang dapat menyah-sulit dan membaca mesej tersebut. Tiada pihak lain termasuk pihak WhatsApp sendiri tidak dapat mengetahui apa yang sedang anda bualkan.
Telecommunications and Other Legislation Amendment (Assistance and Access) Bill 2018
Tetapi, jika undang-undang baru Australia ini diluluskan, syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan ini perlu sediakan ‘pintu’ untuk ‘membantu’ pihak berkuasa Autralia mengetahui apa yang dibualkan pengguna.
Ini akan merangkumi semua aplikasi, perkhidmatan, peranti dan lain-lain yang melibatkan penyulitan data. Banyak syarikat akan terkesan dengan perkara ini.
Ada tiga cadangan tahap ‘bantuan’ yang syarikat penyedia perkhidmatan perlu berikan kepada pihak berkuasa Australia:
- Permintaan bantuan teknikal: Permintaan kepada pihak syarikat untuk beri bantuan sukarela kepada pihak berkuasa.
- Notis bantuan teknikal: Notis supaya syarikat wajib nyah-sulit data komunikasi yang mereka sudah sedia boleh lakukan.
- Notis kebolehan teknikal: Syarikat perlu menyediakan/membina cara (pintu) untuk nyah-sulit data komunikasi jika sekarang perkara tersebut belum ada.
Perkara ke-3 tersebut jelas menyatakan yang jika ia dilaksanakan, tiada lagi jaminan penyulitan hujung-ke-hujung terhadapa komunikasi pengguna.
Perkara ini sama seperti apa yang diminta pihak kerajaan Rusia terhadap aplikasi permesejan Telegram sehingga aplikasi tersebut dihalang di Rusia kerana tidak setuju sediakan ‘pintu belakang’ dan mahu terus pertahankan privasi penggunanya.
Dari sumber cnet, Menteri Penguatkuasaan Undang-Undang dan Keselamatan Siber Autralia, Angus Taylor berkata, undang-undang ini perlu untuk menyediakan alat supaya pihak berkuasa boleh bertindak pantas dan efektif dalam menangani ancaman di era digital sekarang.
Apa pendapat anda, setuju dengan undang-undang ini?