Verifikasi 2 Langkah (Two-Step Verification/2-Factor Authentication) adalah cara yang banyak digunakan untuk meningkatkan tahap keselamatan sesebuah akaun yang memerlukan log masuk. Perlindungan digandakan dengan pengguna perlu melakukan 2 jenis verifikasi berbeza sebelum dapat akses akaun tertentu. Contohnya perlu masukkan kata laluan kemudian kod rahsia.
WhatsApp kini memperkenalkan verifikasi 2 langkah ke aplikasinya. Ia bertujuan melindungi nombor telefon anda daripada didaftarkan ke aplikasi WhatsApp atau telefon yang lain. Ini boleh menghalang individu lain mengambil-alih akaun WhatsApp anda tanpa kebenaran.
Jika anda aktifkan fitur ini, kod pass 6 digit perlu dimasukkan sebelum anda boleh daftarkan nombor anda ke aplikasi WhatsApp.
Untuk mengaktifkan fitur ini, ikuti langkah di bawah:
WhatsApp > Settings > Account > Two-step verification > Enable
Anda perlu masukkan kod 6 digit. Email tidak wajib tetapi saya sarankan ia dimasukkan kerana mungkin anda terlupa kod pass di masa hadapan, email digunakan untuk mendapatkan akses semula.
Selepas diaktifkan, nombor anda tidak dibenarkan untuk didaftarkan semula selama 7 hari selepas kali terakhir anda menggunakan WhatsApp. Bermakna, jika anda terus menggunakannya, 7 hari tersebut akan terus dianjakkan.
Jika selepas 7 hari tidak aktif, nombor anda boleh didaftarkan ke WhatsApp tanpa perlu memasukkan kod pass tetapi semua mesej yang belum diterima selama tidak aktif akan hilang.
Jika selepas 30 hari tidak aktif dah berlaku pendaftaran semula nombor tersebut, akaun tersebut dianggap akaun baru dan semua mesej sebelum ini tidak diterima.